REFLEKSI PEMBANGUNAN BLOG PEMBELAJARAN (e-PORTFOLIO)




...................................................CONTOH.............................................................





Disediakan oleh: Kamilah Mohammad Noor

Saya bukanlah seorang yang obses meneroka blog atau mengikuti sebarang blog. Disebabkan itulah saya langsung tiada pendedahan awal tentang pembinaan blog sehinggalah saya mengambil matapelajaran SBP6024, Teknologi dan Inovasi dalam Pemngajaran dan Pembelajaran Biologi yang diajar oleh Profesor Madya Dr. Sadiah bt Baharom. Beliau telah memperkenalkan blog sebagai e-portfolio serta bagaimana ia berfungsi sebagai salah satu alat penting kepada guru untuk digunakan sebagai media membangunkan potensi mereka dalam bidang pendidikan. Ini merupakan pendekatan baru yang harus dijejaki selaras dengan hasrat kerajaan mengintegrasikan ICT dalam pendidikan di negara kita. Pada awalnya, saya merasakan pembinaan blog sebagai e-Portfolio ini amat sukar kerana saya masih baru dalam bidang ini. Namun apabila diteroka sedikit demi sedikit, akhirnya timbul minat yang mendalam untuk terus berusaha menjadikan blog pengajaran ini sebagai suatu medium untuk memperkembangkan ilmu serta berkongsi pengalaman dengan orang lain. 

Amat memberangsangkan apabila didapati sebenarnya terdapat ramai guru dan pendidik yang telah membangunkan e-portfolio sendiri. Penggunaannya semakin meluas dan didedahkan sebagai salah satu daripada alat megajar yang terkini. E-portfolio mengandungi pelbagai dokumen daripada pelbagai aspek cabang ilmu yang berkaitan dengan seseorang guru yang menunjukkan keupayaan mengajarnya. E-portfolio boleh digambarkan sebagai antologi pencapaian di dalam kelas atau di tempat-tempat lain yang dapat membantu pelajar mengembangkan ilmu. Ia juga direka untuk memaparkan bakat-bakat guru melalui keupayaan mentadbir e-portfolio mereka. 

Dalam sesebuah e-portfolio, terdapat banyak ciri seperti strategi dan kaedah pengajaran guru, rancangan pembangunan peribadi, falsafah pengajaran, slide pengajaran, pautan pendidikan, inovasi, projek penyelidikan dan banyak lagi. Setiap penulis blog seharusnya membangunkan laman web yang mesra pengguna supaya ia tidak menyusahkan dan menarik perhatian pengguna. Penulis blog juga haruslah menetapkan ciri-ciri yang lebih baik, menyesuaikan dan menambah alatan serta terus menambah pautan bagi memperhebatkan lagi blog pengajaran. Pengguna hanya perlu klik ditempat sepatutnya dan terus mendapat maklumat yang diinginkan. 

Selain itu, setiap penulis blog harus memilih templat yang sesuai dan menitikberatkan dari segi persembahan warna, susunan, saiz tulisan dan sebagainya bagi mengelakkan kebosanan pembaca dan pengguna. Pelbagai ciri lain boleh ditambah untuk membuatkan blog lebih menarik dan seterusnya dapat menarik perhatian pembaca. Sebagai seorang yang baru dalam penulisan blog, saya percaya masih banyak kekurangan yang ada pada blog pengajaran saya, namun saya berjanji akan cuba membaikpulih dari semasa ke semasa. Namun begitu diharap agar maklumat-maklumat yang telah dimasukkan ke dalam e-portfolio saya dapat di kongsi dan diaplikasi bersama terutama sekali pautan pendidikan yang unik yang boleh memberi manfaat kepada semua pendidik Biologi dan pengunjung blog yang lain. 

Masalah yang paling mencabar adalah untuk mengemaskini blog secara berkala. Jika terdapat banyak masa terluang tidak menjadi sebarang masalah untuk mengemaskini blog kerana kerja-kerja mengemaskini blog amat menyeronokkan. Bagi mengatasi masalah ini, saya merancang untuk meluangkan dua hingga tiga kali dalam seminggu untuk menulis dan mengemaskini blog pendidikan ini. Sebelum ini saya merasakan mustahil untuk mempunayai blog sendiri, namun telah menjadi kenyataan dengan adanya blog pengajaran ini. Ia memberikan suatu kepuasan bagi saya. Di sini saya dapat merumuskan, seseorang penulis blog bukan sahaja memerlukan kefasihan dalam berbahasa untuk menyatakan sesuatu idea pemikiran, tetapi memerlukan kreativiti serta komitmen yang tinggi. Saya percaya dengan menjadi seorang guru yang celik teknologi maklumat (IT), dapat membantu pelajar yang memerlukan kepelbagaian dalam gaya pengajaran mereka. 

Selepas menyelesaikan tugasan ini, saya telah mendapat pelbagai kemahiran asas yang diperlukan oleh seorang guru yang celik IT. Saya mula memahami banyak perkara tentang komputer dan tahu bagaimana cara untuk melaksanakannya dalam pengajaran secara langsung di bilik darjah atau yang tidak langsung di luar bilik darjah. Walaupun selama ini saya pihak sekolah menyediakan alatan seperti komputer, projektor dan sebagainya, alat-alat tersebut tidak akan berguna jika guru-guru tiada kemahiran menjalankan pengajaran berasaskan ICT. Tugasan penulisan blog ini telah membuka mata saya sebagai seorang pendidik kerana saya tidak pernah terfikir bahawa lawan web seperti e-portfolio mampu membawa dan berkongsi pengetahuan ke seluruh dunia tanpa had sempadan. Bukan sekadar perkongsian biasa, namun ia juga memerlukan menggariskan unsur etika di dalamnya. Seseorang penulis dan pengguna blog perlu saling menghormati dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.  

Saya sangat berharap agar saya mampu menjadi seorang guru yang bukan sahaja mempunyai ilmu yang mantap dalam Sains dan Biologi, namun mampu menggunakan pelbagai pendekatan dalam pengajaran. Lebih-lebih lagi dengan menggabungkan aspek teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran Biologi. Jika saya mempunyai peluang, saya akan memuat naik semua bahan pengajaran saya ke blog pengajaran saya ini kerana saya cukup memahami masalah- masalah yang dihadapi oleh kebanyakan guru dan murid yang sukar untuk mendapatkan maklumat tambahan untuk sesuatu pengajaran. Diharap, guru-guru lain juga mampu mengikuti jejak dan sudi berkongsi maklumat serta pandangan terhadap isi pengajaran, kepuasan dalam pekerjaan, isu-isu dalam pendidikan, dan perbincangan bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit.

Secara keseluruhannya, tugasan ini telah membantu saya dalam meningkatkan ilmu pengetahuan sedia ada terutamanya dalam bidang ICT dan boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah kelak. Jika sebelum ini pengetahuan saya dalam bidang ini terlalu cetek, kini saya boleh berbangga dengan diri saya kerana telah dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Daslam kos ini juga saya banyak belajar bagaimana untuk menggabungkan teknologi dan juga P&P. Kerjasama yang diberikan oleh pensyarah iaitu Profesor Mayya Dr Sadiah binti Baharom, rakan-rakan sekuliah serta ahli banyak membantu saya dalam subjek ini. Tanapa mereka, tentu sukar untuk saya memahami dan menguasai sesuatu yang dipelajari dalam subjek ini. Di harap apa yang baik daripada blog ini diambil sebagai ikhtibar dan yang buruk dijadikan sempadan.

Total Pageviews

KamilahMNR. Powered by Blogger.