KEPELBAGAIAN BIOLOGI DAN PEMULIHARAANNYA

Kepelbagaian biologi mendasari semua proses hidup di bumi ini. Walaupun jumlah spesies yang membentuk kepelbagaian ini belum diketahui dengan tepat, anggaran semasa meletakkan jumlah spesies hidupan di bumi di sekitar 10-30 juta. Daripada jumlah ini, hanya 1.4 juta spesies telah dinamakan dan banyak lagi yang masih belum diketahui sains. Tiap satu spesies yang wujud itu adalah bitara dan cukup teradaptasi kepada alam persekitarannya. Tiada siapa yang mengetahui mengapakah terdapat berbagai-bagai jenis hidupan di bumi ini. Sains ekologi menyarankan bahawa kepalbagaian yang tidak terhingga ini merupakan hasil adaptasi hidupan mengelak daripada dituai oleh hidupan lain, yang akhirnya memberikan ciri-ciri yang tersendiri untuk setiap spesies yang wujud di bumi. Tiap spesies juga mempunyai peranan dan fungsi tertentu yang tidak semuanya diketahui oleh manusia. Namun begitu, di peringkat sejagat, kepelbagaian biologi inilah yang menjadikan keadaan di bumi sesuai untuk menampung hidupan. Tanpa hasil proses-proses hidup tersebut, keadaan di bumi diduga menyerupai keadaan di planet Zuhrah yang atmosferanya hampir tepu dengan gas karbon dioksid dan tidak mengandungi oksigen. Kepelbagaian biologi semasa amat terancam oleh kepupusan. Hakisan bilangan spesies di bumi akibat pemupusan spesies akan menghasilkan ekosistem yang getis dan tidak stabil, suatu keadaan yang perlu dihindari jika masalah ekologi sejagat yang serius ingin dielakkan. Nilai kepelbagaian biologi tidak terbatas kepada peranannya dalam fungsi ekosistem semata-mata. Nilai sosial, ekonomi, budaya dan etika sumber-sumber hidup di bumi diakui dalam agama, seni dan kesusasteraan semenjak manusia mula bertamadun. Kepelbagaian biologi juga mendasari industri-industri utama seperti pertanian, perhutanan, perikanan dan perubatan, dan dengan itu mempunyai nilai ekonomi yang langsung. Berbagai- bagai spesies juga memainkan peranan dalam proses-proses ekosistem yang kadang kala tidak ketara, dan oleh itu mempunyai nilai ekonomi tidak langsung kerana proses-proses tersebut mendukung penghasilan ekonomi yang langsung. Kepelbagaian biologi yang kelihatan tidak mempunyai nilai, tidak semestinya boleh dihapuskan kerana ia mempunyai nilai opsyen terutamanya dari sudut pilihan cara guna sumber-sumber di masa akan datang. Di samping itu, ada yang mempercayai bahawa kepelbagaian biologi mempunyai nilai intrinsik yang tiada kaitan langsung dengan persoalan sama ada sesuatu spesies itu berguna kepada manusia atau tidak. Ia telah dicipta oleh Allah subhanahu wataala, dan dengan itu berhak untuk terus wujud di bumi ini. Cara nilai ekonomi spesies-spesies ditetapkan dan bagaimana akaun negara disimpan sedikit sebanyak telah menyumbang kepada hakisan kepelbagaian biologi semasa. Sehingga perubahan-perubahan asas dapat dilaksanakan kepada cara perhitungan ekonomi dan perkiraan akaun negara, pemuliharaan alam semulajadi dan kepelbagaian biologi yang terdapat dalamnya akan banyak tertakluk kepada pegangan dan fahaman individu-individu. Sesungguhnya, penyelesaian masalah hakisan kepelbagaian biologi dan masalah-masalah sampingan yang berkaitan, seperti kemerosotan mutu alam semulajadi, tidak terletak dalam bidang sains dan teknologi, tetapi sebaliknya terletak dalam bidang sosiologi. Manusia tidak boleh terus hidup di bumi sebagai pemangsa alam tabii. Mengubah sikap dan pandangan semasa memerlukan pengembangan kemoralan yang sungguh asasi. Suatu landasan etik baru yang mengambil kira hubung kait rapat dan saling pergantungan semua hidupan yang mendiami bumi ini perlu dikembangkan.

0 comments:

Post a Comment

Total Pageviews

KamilahMNR. Powered by Blogger.